CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, July 15, 2011

TEMAN BERTAKWA MEMBAWA KE SYURGA

TEMAN BERTAKWA MEMBAWA KE SYURGA

(15 Julai 2011M / 13 Syaaban 1432H)

الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله أُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa seseorang itu. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk ”Teman Bertakwa Membawa Ke Syurga”

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam mengajar para penganutnya untuk saling bersaudara kerana Allah. Mereka diwajibkan untuk mencintai saudara-saudara mereka sebagaimana mereka mencintai diri mereka sendiri. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya : "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri".

Islam juga memberi perhatian kepada persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwah. Hal ini kerana ukhuwah merupakan asas kekuatan, keimanan dan ketakwaan umat Islam. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berkasih sayang terhadap sesama manusia khususnya umat Islam. Perkara ini merupakan landasan ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Sabda nabi SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari, yang bermaksud: "Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain; ia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa yang membantu memenuhi keperluan saudaranya, nescaya Allah akan membantunya dalam memenuhi keperluannya. Barang siapa yang membantu meringankan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat nanti. Barang siapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat nanti."

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Antara kemanisan hidup ini adalah apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang mendakwa dia ialah sahabat setia kita. Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda.

Memiliki teman yang jujur dalam erti kata yang sebenar adalah nikmat kehidupan. Bahkan baginda Nabi SAW menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai teman tanpa kepentingan tertentu melainkan kerana Allah semata-mata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman.

Sabda baginda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka”

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasa kemanisannya. Manakala manisnya iman, hanya pemiliknya yang dapat mengecapi kenikmatan dan kehebatannya. Antara tiga ciri tersebut, baginda SAW menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah kemanisan iman.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Apabila perasaan kasih sayang kerana Allah terbina, kita akan dapat merasa nikmatnya perasaan cinta akan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat 63 :

Maksudnya: “Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatupadukan antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana”

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina atas kepentingan diri masing-masing. Tanpa iman, maka tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Jika kita pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, maka kita akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Allah berfirman dalam surah Al-Zukhruf, ayat 67:

Maksudnya: “Sahabat handai pada hari tersebut yakni hari kiamat akan bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa”.

Ayat ini menyatakan bahawa pada hari akhirat nanti, mereka yang pernah bersahabat bukan atas dasar takwa akan bermusuhan sesama sendiri apabila melihat azab Tuhan yang terhasil daripada dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Sebab itulah kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Kawan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga ingin mengingatkan para jemaah sekalian, antara sebab berlakunya masalah rumah tangga pada masa kini ialah kesilapan dalam memilih teman hidup. Ada yang tersilap memilih teman hidup yang jahat, samseng jalanan, penagih dadah dan yang berpenyakit seperti HIV dan siplis. Hal ini kerana pemilihan teman hidup itu tidak berdasarkan apa-apa yang dianjurkan oIeh Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :

"Dikahwini seorang perempuan itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah daripada kalangan mereka yang beragama, nescaya kamu akan selamat ".

Hadis tersebut jelas menunjukkan betapa Islam sangat mementingkan pemilihan pasangan, bukan sekadar memandang harta kekayaan, keturunan yang mulia dan rupa paras yang cantik. Sebenarnya pilihan yang terbaik ialah mereka yang mempunyai asas agama yang benar-benar kukuh. Hal ini kerana kita semua maklum bahawa harta, keturunan dan paras rupa hanya bersifat sementara, tetapi agamalah yang kekal abadi.

Agama akan membentuk akidah yang sahih. Agama melatih melalui ibadah yang berterusan dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabungan inilah yang akan membentuk tanggungjawab seorang hamba yang istiqamah dalam mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. OIeh yang demikian, marilah kita menjadikan agama sebagai asas dalam membuat pertimbangan untuk memilih pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim :

‏إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِيْنَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوْهُ إِلَّا تَفْعَلُوْا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya : "Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di muka bumi ".

0 comments: